Pengumuman & Berita
 
  Pengumuman & Berita > Pengumuman Terkini > Koperkasa teruskan aktiviti kebajikan dengan sumbangan ke Pusat Pemulihan dalam Komuniti Petra Jaya
 

Koperkasa teruskan aktiviti kebajikan dengan sumbangan ke Pusat Pemulihan dalam Komuniti Petra Jaya

Pengerusi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti, Datin Hajah Noraisah Abdullah (kiri) menerima replika cek daripada Setiausaha Koperkasa, Sajali @ Ismail Bin Ojek (kanan)

KUCHING - Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad telah mengadakan lawatan kebajikan ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Petra Jaya di Kampung Semariang Batu, Petra Jaya pada hari Selasa, 15 November 2011 yang lepas.

Semasa lawatan tersebut, Koperkasa yang diwakili oleh Sajali @ Ismail Bin Ojek (Setiausaha Koperkasa), Zolkipli Bin Muhamad Nusi (Pengerusi Jawatankuasa Kecil Kebajikan & Kemasyarakatan), Mohamad Bin Ampik (AJK kebajikan & Kemasyarakatan), Ismail Bin Hassan (AJK JKK kebajikan & Kemasyarakatan), Ismail Bin Haji Abdul Rani (Penolong Pengurus Besar), Abdul Razib Bin Abdillah (Pengurus ICT) dan Lynn Angeline Ganguly (Eksekutif  Pembangunan Perniagaan & Komunikasi) telah memberikan sumbangan ikhlas sebanyak RM1,000 dan menyediakan sedikit jamuan kepada penghuni pusat tersebut.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Setiausaha Koperkasa, Sajali Ojek kepada Pengerusi Pusat Pemulihan dalam Komuniti, Datin Hajah Noraisah Abdullah dalam satu acara ringkas. Acara tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran penghuni pusat tersebut.

Semasa lawatan tersebut juga, satu bacaan tahlil turut diadakan sempena kembalinya ke rahmatullah Pengerusi Koperkasa iaitu Allahyarham Haji Alif Bin Bacha Madarshah pada 8 November 2011 yang lepas yang diketuai bacaannya oleh Haji Ali Bin Samsu.

Dalam ucapan aluan Setiausaha Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Petra Jaya, Hajah Hasfah Binti Haji Johari telah menceritakan sedikit mengenai sejarah penubuhan pusat tersebut.

Menurut beliau, Pusat Pemulihan dalam Komuniti Petra Jaya telah ditubuhkan pada tahun 1993 dan pusat asalnya adalah bertempat di sebuah rumah di Kampung Semariang Batu. Dalam tahun 2005, pusat tersebut telah berpindah ke sebuah rumah yang juga bertempat di Kampung Semariang Baru di mana rumah tersebut telah digunakan sehingga sekarang.

Antara objektif utama penubuhan pusat tersebut ialah untuk menyediakan perkhidmatan pemulihan dan intervensi awal bagi orang kurang upaya di peringkat komuniti selain memberi peluang kepada orang kurang upaya membangunkan keupayaan dan kemahiran yang ada ke tahap potensi yang lebih sejahtera dan bermakna.

Dalam satu ucapan ringkas, Setiausaha Koperkasa, Sajali Ojek pula berkata sumbangan tersebut merupakan hasrat Pengerusi Koperkasa, Allahyarham Haji Alif Bin Bacha Madarshah sendiri sebelum kembali ke Rahmatullah.
Sajali Ojek menambah, selain menjaga kebajikan anggota Koperkasa sendiri, Koperkasa juga tidak lupa dengan kebajikan masyarakat setempat. Kini, Koperkasa sedang merancang untuk mengadakan lebih banyak aktiviti kebajikan untuk masyarakat setempat.

“Sekiranya mempunyai lebihan keutungan di masa hadapan, Koperkasa akan terus membantu masyarakat setempat selain anggotanya sendiri” ujar beliau lagi.

Sumbangan tersebut merupakan sumbangan yang mewakili 24,000 orang anggota Koperkasa di seluruh Sarawak.

Sebelum mengakhiri ucapan, beliau amat berharap dengan sumbangan ikhlas tersebut, sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Petra Jaya.